Monday, November 26, 2007

'Mati Pucuk' Versi Wanita

ADAKAH? Memang ada, dan ia lebih dikenali sebagai disfungsi seksual wanita (FSD). Bukan itu sahaja. FSD tidak hanya mewakili satu masalah tunggal tetapi turut meliputi pelbagai masalah seksual kaum hawa.

Dari gangguan keinginan seksual hipoaktif (HSDD atau dorongan seks rendah atau libido) hinggalah kepada kesakitan semasa melakukan hubungan kelamin, disfungsi seksual lebih kerap berlaku di kalangan wanita berbanding lelaki.

Penyebaran disfungsi seksual di kalangan lelaki dianggarkan pada tahap 31 peratus sementara di kalangan wanita adalah 43 peratus. Ini bermakna setiap dua daripada lima orang wanita mengalami FSD.

Apakah FSD itu sebenarnya? Apakah yang menjadi puncanya? Bagaimana pula dengan gejalanya? Apakah yang boleh dilakukan oleh lelaki untuk membantu pasangan mereka? Senarionya di Malaysia?

Pfizer Global Better Sex Survey 2006 yang telah meninjau pendapat lelaki dan wanita di seluruh dunia tentang kepuasan dan aspirasi seksual mendapati, 83 peratus wanita Malaysia berpendapat bahawa seks merupakan satu aspek kehidupan penting untuk mencapai hubungan yang memuaskan.

Namun begitu, lebih daripada 69.6 peratus wanita Malaysia mengalami satu daripada masalah FSD. Gabungan dua fakta ini menyebabkan tanggungjawab memahami FSD oleh kedua-dua pihak menjadi lebih penting lagi.

‘‘Apabila wanita mula meningkat usia, kewujudan FSD juga turut meningkat. Sebahagian daripada apa yang menjadikan FSD ini sesuatu yang misteri adalah kerana ia merujuk kepada pelbagai masalah seksual di kalangan wanita.

‘‘FSD yang paling biasa adalah ketiadaan libido. Ciri-cirinya termasuklah dorongan dan minat dalam aktiviti seksual yang begitu rendah,’’ demikian menurut Kaunselor Perhubungan dan Pakar Terapi Seks terkemuka dari Sydney, Australia, Dr. Rosie King.

Beliau berkata demikian semasa menyampaikan tutorial media tentang FSD anjuran firma farmaseutikal Pfizer Malaysia di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Beliau berkata, di kalangan wanita, ia disebabkan oleh banyak faktor termasuk tekanan perasaan, terlalu letih, kemurungan, putus haid, berkeluarga dengan anak kecil atau berada dalam hubungan yang tidak bahagia.

‘‘Satu lagi FSD yang biasa adalah gangguan nafsu berahi di mana wanita menggambarkan sama ada mereka sukar untuk berasa ghairah atau melakukan hubungan seks dalam keadaan kering dan tidak selesa.

‘‘Gangguan kesakitan seksual atau dispareunia dan vaginismus, di mana otot lantai pelvis menjadi kejang sehingga menjadikan hubungan seks tidak dapat dilakukan, juga kerap dilaporkan oleh wanita,’’ jelasnya.

Namun begitu, harapan masih ada. FSD bukanlah sekadar satu fenomena fizikal tetapi gabungan faktor-faktor biologi, psikologi, jalinan hubungan, seksual dan keadaan semasa yang kompleks. Oleh kerana itu, menurut Dr. King, kunci untuk mengatasi FSD adalah dengan memahami tubuh wanita dan amat penting sekali bagi pasangannya untuk turut terlibat dalam membantu wanita berasa selesa dengan reaksi tubuhnya semasa melakukan hubungan yang intim ini.

Memahami bagaimana nafsu seksual berfungsi akan membantu kedua-dua pihak berasa lebih relaks dan dapat menikmati hubungan seks sepenuhnya, ujar beliau.

Dr. King turut mendedahkan bahawa seorang wanita bertindak balas lebih perlahan terhadap rangsangan seksual dan secara tipikalnya wanita memerlukan 15 sehingga 20 minit masa bercumbu sebelum dia bersedia untuk melakukan hubungan seks.

‘‘Banyak perubahan berlaku di bahagian pelvis wanita bagi membolehkan mereka melakukan hubungan seks dengan selesa dan pasangannya perlu mengambil kira hal ini semasa bercumbu.

‘‘Tanpa pertimbangan ini, wanita mungkin akan mengalami kesakitan yang mempunyai gejala gangguan kesakitan seksual,’’ katanya.

Jenis-jenis FSD lazim

Ketiadaan libido
Disfungsi seksual paling biasa, yang menjejaskan lebih daripada 30 peratus wanita adalah ketiadaan libido. Punca biasanya termasuklah tekanan perasaan, terlalu letih, kemurungan, putus haid, berkeluarga dengan anak kecil atau berada dalam hubungan yang tidak bahagia.

Di peringkat awal dalam sesuatu hubungan iaitu semasa bercinta, nafsu seksual wanita cenderung lebih tinggi kerana peningkatan dalam hormon testosteron.

Selepas 18 bulan sehingga tiga tahun, tahap nafsu ini akan menurun dan selepas itu ramai wanita tidak pernah lagi atau jarang sekali mengalami nafsu yang spontan terhadap seks walaupun mereka mungkin masih akan terbuka terhadap perlakuan seks sekiranya pasangan mereka memulakannya.

Umumnya nafsu seksual lelaki adalah lebih tinggi daripada wanita. Perbezaan ini dikenali sebagai percanggahan nafsu. Kebanyakan wanita yang rendah libido juga akan mengalami masalah menangani percanggahan nafsu ini.

Wanita lebih kerap berasa tidak puas hati dengan tahap libido mereka kerana mereka membandingkan nafsu semasa mereka dengan nafsu ketika bercinta, dengan nafsu pasangan lelaki mereka yang kuat atau dengan pandangan yang tidak realistik yang mereka dapati daripada media tentang nafsu seksual wanita.

Kebanyakan wanita mengharapkan mereka akan hanyut dalam arus keghairahan nafsu dan mereka akan begitu kecewa apabila mendapati nafsu seksual mereka adalah neutral dan terpaksa bergantung kepada sebab-sebab lain yang tidak seksual sebagai motivasi untuk melakukan hubungan seks.

Bagi mengatasi masalah nafsu ini, wanita perlu memahami bagaimana nafsu seksual berfungsi dan menjadi peka terhadap pengalaman seksual bagi seseorang wanita yang tipikal. Ini akan membantu wanita berasa lebih normal berhubung dengan tahap nafsu mereka.

Gangguan Nafsu Berahi
Wanita yang mengalami gangguan nafsu berahi menyatakan masalah untuk membangkitkan rasa ghairah dan menikmati hubungan seks, atau hubungan seks ini berlaku dalam keadaan kering dan tidak selesa.

Mereka juga mengadu tidak dapat mencapai nikmat dan keseronokan semasa melakukan hubungan seks.

Kebanyakan wanita tidak menyedari bahawa mereka memerlukan di antara 15 hingga 20 minit masa untuk bercumbu sebelum mereka bersedia untuk melakukan hubungan seks.

Banyak perubahan berlaku di bahagian pelvis wanita yang akan membolehkan hubungan seks berlaku dalam keadaan yang selesa. Sekiranya tiada masa diberikan untuk perubahan ini berlaku, wanita mungkin akan berasa sakit semasa melakukan hubungan seks.

Wanita mendapati adalah lebih sukar untuk menumpukan perhatian terhadap pengalaman yang erotik berbanding lelaki dan justeru itu nafsu seksual mereka bangkit dengan lebih perlahan.

Sekiranya seseorang wanita mempunyai masalah untuk membangkitkan nafsu seksual mereka, kemungkinan besar dia akan mengalami masalah mencapai orgasma dan menderita pula gangguan orgasma.

Gangguan kesakitan seksual
Gangguan kesakitan seksual atau dispareunia adalah satu lagi masalah seksual bagi wanita.

Hubungan seks yang menyakitkan mungkin disebabkan ketiadaan rasa ghairah seperti yang telah dijelaskan di atas atau ia mungkin disebabkan masalah fizikal yang mendasari seperti jangkitan atau keradangan.

Satu bentuk hubungan seks yang menyakitkan dikenali sebagai vaginismus di mana hubungan seks tidak dapat dilakukan kerana kekejangan otot lantai pelvis.

Sebab-sebab FSD
Masalah seksual wanita dan ketidakpuasan seksual boleh disebabkan oleh pelbagai faktor dari segi biologi, psikologi, jalinan hubungan, seksual dan keadaan semasa.

Walau bagaimanapun, kajian mendapati bahawa disfungsi seksual lelaki seperti ED atau pancutan air mani terlalu awal boleh melemahkan fungsi seksual wanita lalu mengehadkan nikmat dan kepuasan seksual wanita.
Adalah didapati bahawa, bagi wanita yang pasangan mereka menderita ED, mereka akan mengalami masalah rendah libido, kurang nafsu berahi, kelemahan orgasma dan kepuasan seksual yang berkurangan.

Namun, apa yang menariknya, apabila masalah ED lelaki telah dirawat, tindak balas seksual di kalangan pasangan wanita akan bertambah baik. Ramai lelaki berasa malu untuk mendapatkan bantuan bagi masalah ereksi mereka.

Mereka mungkin tidak menyedari bahawa masalah ereksi boleh memberi kesan bukan sahaja dalam hubungan mereka dan keadaan emosi pasangan tetapi juga terhadap keseronokan, fungsi dan kepuasan seksual pasangan mereka.

Apabila seorang lelaki mengalami ED, dia secara tipikalnya akan kehilangan harga diri dan keyakinan lalu menjadi murung dan mula menyisihkan diri daripada pasangannya.

Wanita sering kali menyalahkan diri mereka apabila pasangan lelakinya mengalami masalah seksual. Adakah saya terlalu gemuk atau terlalu tua? Apakah dia tidak lagi menyintai saya? Kedua-dua pihak mengasingkan diri dan hubungan intim di antara kedua mereka mula retak.

Namun begitu, seperkara yang baik adalah, jika lelaki mendapatkan rawatan untuk ED dan rawatan tersebut mengembalikan ereksi yang tegang pada peringkat maksimum - ereksi Gred 4 pada Skala Ketegangan Ereksi, tindak balas seksual pasangan wanitanya akan bertambah baik.

Disfungsi seksual akan berakhir dan keseronokan dan kepuasan seksual wanita akan kembali pulih.

Apa yang boleh dilakukan kaum Adam untuk membantu?

Seks adalah satu perkongsian di mana disfungsi di kalangan mana-mana pihak akan mewujudkan tekanan yang besar ke atas hubungan pasangan tersebut.

Malah, kajian mendapati bahawa disfungsi seksual lelaki seperti ED atau pancutan air mani terlalu awal turut boleh menyumbang kepada FSD.

Wanita yang pasangannya menderita masalah ED didapati mempunyai tahap libido yang rendah, kurang bernafsu, menghadapi kelemahan orgasma dan kepuasan seksual yang berkurangan.

Dalam kajian yang diterbitkan oleh Current Sexual Health Reports, kemungkinan wanita dengan FSD melaporkan kehidupan yang tidak bahagia adalah 2.5 hingga lima kali lebih tinggi dan 41 peratus daripada mereka juga berasa bahawa mereka patut dipersalahkan apabila pasangan mereka mengalami ED.

Apa yang menarik, kata Dr. King, apabila lelaki mendapatkan rawatan untuk ED dan pulih sehingga mencapai ketegangan maksimum, tindak balas seksual daripada pasangan wanita juga akan bertambah baik.

Kesimpulannya, ini nasihat beliau: “Seks adalah perekat dan pelincir dalam sesuatu hubungan. Perekat kerana ia dapat membantu merapatkan hubungan pasangan, dan pelincir kerana hubungan seks yang baik dapat membantu pasangan mengatasi masalah lain dalam kehidupan mereka.

‘‘Adalah penting bagi pasangan untuk memupuk kemesraan dalam hubungan mereka dengan menjalin ikatan emosi yang intim (berkongsi tanggapan dan perasaan peribadi), menikmati masa yang dihabiskan bersama-masa dan melakukan hubungan seks secara aktif dan teratur.

‘‘Jadi, jika wujudnya sebarang masalah seksual, ia patut ditangani dengan segera dan pasangan itu wajar mendapatkan khidmat nasihat profesional,” katanya.

Sumber: Utusan OnLine

No comments: